Sunday, May 3, 2009

Virus Selesema Babi




Lubuk virus
Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Hafizah Iszahanid mailto:Iszahanidbminggu@bharian.com.my



Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk dunia matiTEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi. Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13 April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.


Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat ini. Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut.


Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk' pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya, virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan jangkitan serius dan mudah tersebar.
Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak selesema babi.


Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia. Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand, Israel dan Sepanyol.

Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin melarat kepada pandemik. "Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.


Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah selesema babi ini bakal melenyapkan manusia. Apakah benar andaian ini?


Apakah ia mampu mencetuskan wabak selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan?


Pada 1918 misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden.

Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan Amerika pada tahun sama.

Sebelas tahun kemudian, wabak Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa. Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek 'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan berisiko seperti warga tua. Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael Osterholm.


Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi. "Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar.


Inilah yang menjadi masalahnya." Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500 askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan, tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.

Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh beberapa bulan ke sebahagian besar dunia. Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara. Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan. Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) dan Ebola.


Selesema burung misalnya, biarpun muncul pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang dijangkiti di 14 negara. Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada 2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada 8,000 kes.


Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes dicatatkan pada 2005. Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair. Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang sudah pasti mencetuskan panik.

Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.

No comments: