Tuesday, September 1, 2009

Jangan Panik - H1 N1, Kata Menteri

Pertubuhan Kesihatan Dunia :
Anggaran 5 juta atau 20% Rakyat Malaysia akan dijangkiti H1N1

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Darurat kesihatan tidak boleh diisytihar sewenang-wenangnya walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mengakui situasi wabak itu di negara ini adalah tenat, tetapi untuk mengisytihar negara sebagai darurat ia perlu mengambil kira banyak faktor dan kriteria lain.Katanya, ia termasuk melibatkan pelbagai pihak lain seperti orang awam, kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini tidak bermakna kerajaan tidak serius dalam menangani penularan H1N1, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi kepada Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Malaysia hari ini mencatatkan tiga lagi kematian akibat virus H1N1 menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 62 orang manakala sebanyak 283 kes baru dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 3,857 kes.

Semalam Tiong Lai berkata, WHO menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.Statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai kesan penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

Tiong Lai berkata, buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan kepada aspek pencegahan dan rawatan khususnya terhadap pesakit-pesakit H1N1 yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi.“Kita akan terus mempergiatkan usaha menghebahkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan H1N1 di media massa seperti mengadakan sesi forum dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu mengambil langkah yang praktikal dalam mencegah penularan wabak H1N1 di negara ini termasuk meminta orang ramai memberi kerjasama bersepadu kepada kerajaan dalam perkara tersebut.“Saya yakin keadaan akan bertambah pulih sekiranya orang ramai mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan tidak memandang remeh penularan wabak H1N1,” jelas beliau.

Beliau seterusnya menegaskan, individu-individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) seperti demam panas, selesema dan batuk perlu segera mendapatkan rawatan di hospital demi kesihatan diri.“Mereka juga perlu prihatin dengan keselamatan orang lain dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka dan berehat di rumah supaya virus penyakit tidak menjangkiti individu yang tidak berkenaan,” katanya.Sumber : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: