Friday, August 5, 2011
Multiple Sclerosis
Jejas sistem saraf pusat
Multiple sclerosis boleh menyebabkan lumpuh
Oleh
Dewani Abbas
Cik Tow berasa sangat sedih apabila mendapati dirinya diserang sejenis penyakit kronik yang berpotensi membuatnya lumpuh dalam usia yang agak muda.
Ibu tiga orang anak berusia 31 tahun ini yang enggan nama penuhnya disiarkan menghidap penyakit multiple sclerosis (MS), sejenis penyakit yang menjejas sistem saraf pusat yang melibatkan otak, saraf tunjang dan saraf-saraf mata.
Tanda-tanda awal penyakit ini termasuk rasa penat dan letih, mata kabur, kaki lemah atau kebas, muka, tangan, kaki dan badan terasa dicucuk-cucuk dan rasa kebas di dada atau perut.
Tanpa dirawat awal, pesakit boleh mengalami MS sepenuhnya dan mengalami masalah mengimbangi badan, penglihatan semakin kabur, pertuturan tidak jelas, lemah di salah satu atau kedua-dua belah kaki, tidak dapat mengawal diri untuk membuang air kecil dan lumpuh di bahagian tubuh tertentu.
Akhirnya, pesakit boleh menjadi lumpuh sepenuhnya dan buta.
Penyakit ini didapati paling banyak menyerang wanita berusia 20 hingga 50 tahun.
Bagaimanapun, bagi Cik Tow, mujur penyakitnya cepat dikesan awal dan beliau diberikan rawatan ubat yang perlu disuntik ke tubuhnya dua hari sekali.
Kini beliau sudah berasa lebih sihat dan penyakitnya terkawal meskipun perlu memakan ubat seumur hidup.
Pekerja penggalak penjualan ini pada mulanya kerap berasa letih, kabur di mata kiri, kemudian mata kanan dan kaki serta tangannya berasa kebas apabila mula mendapat tanda MS dalam 2001.
Penyakit MS yang tidak boleh disembuhkan ini sebenarnya kurang diketahui. Di Singapura tidak ramai menghidapinya - sekitar satu hingga dua orang bagi setiap 100,000 orang, menurut Profesor Madya Benjamin Ong, Konsultan Kanan Neurologi di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Tetapi oleh kerana tahap kesedaran atau pemahaman mengenai penyakit ini masih rendah, maka dijangka jumlah sebenar pesakit MS di sini lebih tinggi.
'MS ialah penyakit yang amat melemahkan. Malangnya, tidak ramai orang tahu tanda-tandanya, apatah lagi mendapatkan rawatan untuknya,' kata Profesor Ong.
Tanpa rawatan, 85 peratus pesakit boleh menghidap MS sepenuhnya dalam masa dua tahun.
Menurut para saintis, penyakit ini berpunca daripada kegenjotan pada sistem daya tahan semula jadi seseorang yang menyebabkan ia menyerang tisu-tisu sihatnya.
Apabila ini berlaku, bahan pelindung yang menyelaputi serat saraf sistem saraf pusat dipanggil myelin musnah dan digantikan oleh parut-parut.
Kerosakan ini akhirnya menjejas 'komunikasi' saraf antara saraf otak, saraf tunjang dengan saraf mata yang membawa kepada penyakit MS. Tetapi punca tepat tidak diketahui.
Dianggarkan satu hingga 2.5 juta manusia di seluruh dunia menghidap MS.
Doktor mengesan penyakit ini dengan menjalankan imbasan imej pada otak dipanggil skan magnetic resonance imaging (MRI).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment