Friday, August 5, 2011

Tarik Kaki Bayi Hingga Putus Kepala

Berita

MELAKA: Panik apabila bayi luar nikah yang dilahirkannya berada dalam kedudukan songsang, seorang wanita nekad menarik kaki bayi itu sehingga menyebabkan bahagian kepalanya terputus.

Kejadian itu menyebabkan wanita terbabit, yang berusia 24 tahun, bertambah panik lalu membuang mayat bayi baru dilahirkannya itu ke dalam tong sampah di tingkat bawah rumah sewanya, di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Sri Lanang, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata kejadian berlaku pada sekitar 6 petang Selasa lalu ketika wanita terbabit yang hamil enam bulan melahirkan bayinya sendirian.

Menurutnya, selepas mengalami pendarahan akibat melahirkan bayi perempuan tidak cukup bulan seorang diri, wanita terbabit kemudian menghubungi ibunya.

'Ibunya kemudian membawa wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sekitar 9 malam pada hari yang sama.

'Ketika menerima rawatan, doktor mendapati dia baru bersalin dan mengesyaki ada yang tidak kena lalu terus membuat laporan polis,' katanya.

ACP Raja Shahrom berkata aduan doktor itu dibuat di Pondok Polis Hospital Melaka pada sekitar 3 petang Rabu lalu, dan polis daripada Cawangan D11, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri ditugaskan melakukan siasatan lanjut.

'Hasil siasatan, wanita itu mengaku melahirkan bayi tidak cukup bulan dan polis menemui mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan tanpa kepala di dalam tong sampah tempat kejadian,' katanya.

Menurutnya, setakat ini polis belum menemui kepala bayi itu dan usaha mencarinya masih dijalankan.

'Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda,' kata ACP Raja Shahrom. -- Harian Metro.

No comments: